Setiap tahun kita menyambut Hari
Kemerdekaan negara tercinta yang jatuh pada 31hb Ogos . Tema bagi Hari
Kemerdekaan Malaysia ke 56 ialah ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya
Darahku’ .
Tema kali ini lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan
kesatuan negara bangsa.
Ianya bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu
mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan
negara.
Konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada
elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.
Selain itu, Sambutan Ambang
Merdeka pada 30 Ogos 2013 akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim
Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh
Perbadanan Putrajaya.
Acara lain termasuk perbarisan dan
perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka melibatkan persembahan pasukan
keselamatan negara yang terdiri daripada gabungan Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM).
Pameran aset pasukan keselamatan
negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM juga akan mengisi acara
pada sambutan hari kemerdekaan nanti.
Tahun 2013 sangat
istimewa kerana ia merupakan Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia dan sempena
itu, negeri Sabah dan Sarawak akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan
sambutan ini.
Orang ramai boleh mendapatkan
maklumat lanjut mengenai kesemua program dan aktiviti sempena sambutan Hari
Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 di laman web
www.malaysiamerdeka.gov.my.