Monday, April 12, 2010

RM4.9 juta geran permulaan


Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

RAWANG 12 April - Kerajaan memperuntukkan RM4.9 juta untuk geran permulaan prasekolah swasta pada tahun ini bagi membantu pengusaha baru membuka lebih banyak prasekolah terutama di kawasan miskin bandar dan di luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, geran tersebut akan disalurkan kepada 426 pengusaha baru yang layak dengan setiap mereka akan menerima RM10,000 untuk tujuan itu.
"Ini adalah inisiatif baru yang kerajaan perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan lebih banyak prasekolah oleh pihak swasta terutama di kawasan yang tidak dapat dicapai kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan geran berkenaan kepada pengusaha-pengusaha baru di Tadika Wawasan Gemilang di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menjangkakan peruntukan bagi geran tersebut akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun pada masa depan.
Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan sedar ada pihak yang mempertikaikan pemberian geran tersebut kepada pengusaha prasekolah swasta.
"Dengan tegas dan telus saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihan raya tetapi ini adalah komitmen kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk bidang pendidikan yang berkualiti,'' jelasnya.
Katanya, tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan kerana kerajaan mahu melihat setiap rakyat daripada semua golongan sosio ekonomi terbela.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga akan menyeragamkan geran per kapita sebanyak RM100 kepada setiap kanak-kanak prasekolah milik agensi kerajaan dan dalam masa sama berusaha meningkatkan bantuan makanan daripada RM1.50 kepada kadar yang lebih tinggi.
Usaha lain katanya, termasuk menyediakan latihan yang lebih berkualiti kepada guru-guru prasekolah memandangkan masih ramai yang belum mendapat latihan yang sewajarnya.
Jelasnya, semua itu dilaksanakan demi memastikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan kadar kemasukan kanak-kanak ke prasekolah bermula pada usia empat dan lima tahun mencapai 87 peratus menjelang 2012 berbanding sebanyak 67 peratus sekarang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online